Grab The Promo

Menguatkan Pertahanan Wanita Terhadap Kanser Serviks

KUALA LUMPUR, 28 Julai (Bernama) -- Bintang pop serta pelakon filem Hong Kong Anita Mui, nama yang tidak asing bagi peminat Cantopop, meninggal dunia tidak sampai empat bulan selepas mengumumkan bahawa beliau menghidap kanser serviks.

Gayanya yang penuh bertenaga serta personaliti yang flamboyan di atas pentas menjadikan beliau sangat popular dalam kalangan peminatnya. Bagaimanapun Mui memghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Dis 2003 ketika berusia 40 tahun.

Kakaknya juga mati kerana kanser serviks tiga tahun sebelum itu.

Di seluruh dunia, seorang wanita mati kerana kanser serviks setiap dua minit dan barah itu meragut 270,000 nyawa setahun. Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan dunia (WHO) kadar kematian kanser serviks lebih tinggi daripada kematian semasa melahirkan anak setiap tahun.

Dari aspek kanser secara umumnya, kanser serviks ialah kanser kedua paling ketara dalam wanita selepas barah buah dada.

Di Malaysia, 12.2 daripada setiap 100,000 populasi wanita didiagnos menghidap kanser serviks. Menurut laporan WHO pada 2007, lebih daripada 700 wanita Malaysia mati kerana kanser serviks setiap tahun.

SEMUA WANITA PUNYA RISIKO

Semua wanita punya risiko terhadap kanser ini tetapi jika penyakit ini boleh didiagnos atau dapat dikesan lebih awal di dalam tubuh, ia boleh dirawat.

Bekas jururawat dan model, Genevieve Sambhi, membuktikan bahawa mengesan serta mengetahui kehadiran kanser ini dengan lebih awal boleh menyelamatkan nyawa.

Episod perjuangan Sambhi menentang kanser serviks bermula bila beliau menjalani pemeriksaan kesihatan yang rutin. Sambhi kemudian diberitahu yang beliau menghidap kanser serviks. "Bila saya mengetahui kehadirannya (kanser), ia begitu sukar sekali. Seperti juga perasaan pesakit lain, saya merasakan kanser itu sepatutnya tidak berlaku pada diri saya tetapi ia memang terjadi," kata beliau pada sidang akhbar baru-baru ini.

Semasa sesi rawatan radioterapi dan kemoterapi, Sambhhi mula memikirkan yang beliau perlu membuat sesuatu. Tiada wanita yang perlu melalui kesengsaraan seperti yang beliau telah tempuhi.

"Ia memerlukan semangat kental bagi seseorang melepasi ranjau ini dan berkongsi pengalaman mereka. Saya mempunyai alasan sendiri bagi memberitahu wanita lain tentang kebaikan 'Pap smear' dan vaksinasi", kata beliau.

Sambhi ialah seorang daripada tujuh duta wanita bagi kempen 'Power Over Cervical Cancer (POCC)'. Duta POCC yang lain ialah Pamela dan Vanessa Chong (dari siri televisyen Amazing Race Asia musim 2), hos program televisyen Siow Hui Mei dan Rina Omar, Deejay Jay Menon dan pelakon serta personaliti televisyen Sarimah Ibrahim .

"Kini saya sihat. Sudah satu tahun saya menjalani pembedahan 'hysterectomy'. Saya agak bernasib baik. Saya sudah ada anak, sepasang cahaya mata lelaki dan perempuan dan saya mendapat sokongan yang kuat daripada keluarga," kata Sambhi.

KAJI SELIDIK RISIKO KANSER SERVIKS

Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) menjalankan kempen POCC dalam usaha menambah kesedaran terhadap penyakit ini dan membantu mengurangkan kejadiannya di negara ini.

POCC, disokong oleh GlaxoSmithKline, berhasrat memperkasa wanita Malaysia dalam menambah kesedaran bahawa kanser serviks merupakan satu penyakit yang boleh dirawat.

Antara elemen penting dalam kempen ini ialah Kaji selidik Risiko Kanser Serviks yang merupakan satu kaedah perbincangan mengandungi dua bahagian. Ia memberikan maklumat tentang kanser ini dan juga risiko yang dihadapi wanita yang menghidap penyakit itu.

Kaji selidik ini menggalakkan wanita menilai sendiri dan membincangkan opsyen yang ada bagi melindungi diri mereka daripada kanser ini. "Sejak lebih setahun lalu POCC memang aktif mengingatkan serta meningkatkan kesedaran wanita Malaysia tentang langkah pencegahan terhadap kanser serviks," kata Pengarah Eksikutif dan Pengarah Perubatan NCSM, Dr Saunthari Somasundaram.

"Kami merancakkan lagi kempen ini dengan menggembleng tenaga yang bersemangat dalam usaha menyelamatkan nyawa kerana setiap wanita berhak mempunyai hidup yang bebas daripada kanser serviks.

"Kanser ialah penyakit sosial. Ia memberi kesan terhadap setiap aspek hidup wanita serta juga kehidupan keluarganya dan kerjaya mereka," kata Dr Saunthari.

SEMUA WANITA MEMPUNYAI RISIKO

Kanser serviks disebabkan jangkitan berterusan oleh Virus Papilloma Manusia (HPV). Kanser ini tidak mengenal usia di mana wanita muda dan mereka yang berusia mempunyai risiko terhadap penyakit ini.

Terdapat 100 jenis HPV tetapi hanya 20 yang menyebabkan kanser ini terjadi. Menurut statistik 'strain' virus 16 dan 18 yang menyebabkan 70 peratus daripada kejadian kanser serviks.

Dianggarkan 50-80 peratus wanita akan mengalami jangkitan HPV genital (kemaluan) dalam hidup mereka dan sehingga 50 peratus daripada infeksi ini mempunyai potensi menyebabkan kanser. Risiko ini tercetus bila mulanya 'aktiviti seksual'.

Perebakan kanser serviks adakalanya berlaku tanpa apa-apa tanda dan gejala yang ketara seolah-olah penyakit ini boleh 'menyembunyikan diri' sebelum mencapai tahap yang teruk.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan infeksi virus HPV berlaku berterusan yang menyebabkan terjadinya kanser serviks.

Faktornya ialah usia yang muda bila mengalami seks kali pertama, kekerapan mengandung, merokok, infeksi, jangkitan penyakit seksual dan juga penggunaan kontraseptif (cegah kehamilan) pada satu jangka masa yang panjang.

Walaupun faktor ini mempunyai impak terhadap perkembangan kanser serviks, ia memang telah dibuktikan jangkitan HPV merupakan 'punca sebenar' kanser ini.

KANSER SERVIKS BOLEH DIRAWAT

Jika dapat dikesan lebih awal, kanser serviks boleh dirawat. Bagaimanapun ini memerlukan pengesanan awal sel-sel yang abnormal.

Ini boleh dilakukan dengan menjalani ujian tahunan 'Papanicolaou' (lebih popular dengan panggilan 'Pap smear') yang mengesan perubahan dalam sel-sel di bahagian serviks.

Program saringan menggunakan kaedah Pap smear adalah penting sebagai alat pengesanan awal tetapi kaedah ini tidak berupaya mengesan semua perubahan prakanser atau kanser.

Tetapi kadar risiko menghidapi kanser serviks adalah lima kali lebih tinggi bagi wanita yang tidak menjalani pemeriksaan Pap smear.

Terdapat vaksin baru terhadap virus HPV strain 16 dan 18 tetapi vaksin ini bertindak paling baik jika diberikan pada wanita sebelum mereka 'aktif secara seksual' dan umur yang disyorkan ialah antara 9 dan 14 tahun.

Bagi mereka yang memerlukan lebih banyak maklumat, sila layari www.pocc.com.my atau www.cancer.org.my.

--

SOURCE FROM BERNAMA



0 comments:

Post a Comment

Powered by Jasper Roberts - Blog

Archieve