Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Apa hukum melakukan solat dan doa pada malam nisfu Sya'ban seterusnya berpuasa pada siang harinya?
Jawapan :
Malam nisfu Sya'ban merupakan malam yang barakah. Terdapat sebilangan
 besar dalil yang menyebut tentang kelebihan malam nisfu Sya'ban 
daripada hadis-hadis (Nabi S.A.W) yang saling menguatkan antara satu 
sama lain serta mengangkat (hadis-hadis tersebut) ke darjat Hadis Hasan 
dan Kuat (dari segi hukumnya).
Maka mengambil berat terhadap malam nisfu Sya'ban serta menghidupkan 
malamnya adalah sebahagian daripada agama yang tiada keraguan padanya. 
Adapun keraguan yang timbul adalah disebabkan pandangan terhadap 
hadis-hadis yang barangkali hukumnya Dhaif yang menceritakan tentang 
kelebihan malam tersebut.
Antara hadis-hadis yang menceritakan tentang kelebihannya :
عَنْ 
عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْها قَالَتْ : "فَقَدْتُ النَّبِيَّ صَلَّى 
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ لَيْلَةٍ فَخَرَجْتُ أَطْلُبُهُ فَإِذَا 
هُوَ بِالْبَقِيعِ رَافِعٌ رَأْسَهُ إِلَى السَّمَاءِ فَقَالَ :يَا 
عَائِشَةُ أَكُنْتِ تَخَافِينَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْكِ وَرَسُولُهُ 
قَالَتْ :قَدْ قُلْتُ وَمَا بِي ذَلِكَ وَلَكِنِّي ظَنَنْتُ أَنَّكَ 
أَتَيْتَ بَعْضَ نِسَائِكَ فَقَالَ إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى يَنْزِلُ 
لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا فَيَغْفِرُ
 لِأَكْثَرَ مِنْ عَدَدِ شَعَرِ غَنَمِ كَلْبٍ" - رواه الترميذي وابن ماجه 
وأحمد .
Hadis daripada Ummul Mukminin 
Sayidatina 'Aisyah R.A telah berkata : "Aku telah kehilangan nabi S.A.W 
pada suatu malam, maka aku telah keluar untuk mendapatinya maka baginda 
berada (sedang berdiri di kawasan perkuburan) Baqi' sambil mendongakkan 
kepalanya ke langit. lalu baginda berkata : Wahai 'Aisyah, adakah kamu 
takut Allah dan Rasulnya melakukan kezaliman ke atas kamu? Berkata 
'Aisyah : Bukan demikian sangkaanku tetapi aku menjangkakan kamu telah 
pergi kepada sebahagian daripada isteri-isteri kamu (atas 
perkara-perkara yang mustahak lalu aku ingin mendapat kepastian). Lalu 
baginda bersabda : Sesungguhnya Allah Ta'ala telah turunkan (malaikatNya dengan perintahNya) pada malam nisfu Sya'ban ke langit dunia, lalu Allah mengampunkan dosa-doa (yang dilakukan oleh hambaNya) lebih banyak daripada bilangan bulu-bulu yang terdapat pada kambing-kambing peliharaan (bani) Kalb."
 [Hadis Riwayat Al-Tirmizi, Ibnu Majah dan Imam Ahmad.] 
Seterusnya,
عن 
مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ
 عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ : " يَطَّلِعُ اللَّهُ إِلَى جَمِيعِ خَلْقِهِ 
لَيْلَةَ النِّصْفِ مِنْ شَعْبَانَ فَيَغْفِرُ لِجَمِيعِ خَلْقِهِ إِلَّا 
لِمُشْرِكٍ أَوْ مُشَاحِنٍ " - رواه الطبرانى وصححه ابن حبان .
Hadis daripada Saidina Mu'adz ibnu Jabal R.A bahawa nabi S.A.W telah bersabda :"Allah
 memandang pada kesemua makhluk ciptaanNya pada malam nisfu Sya'ban, 
lalu Allah mengampunkan dosa-dosa kesemua makhlukNya melainkan dosa 
orang musyrik  (yang menyekutukan Allah)  dan dosa orang yang bermusuhan." 
 [Riwayat Al-Tobrani dan disahihkan oleh Ibnu Hibban.] 
Seterusnya,
عَنْ 
عَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ كرم الله وجهه قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ 
صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : "إِذَا كَانَتْ لَيْلَةُ النِّصْفِ 
مِنْ شَعْبَانَ فَقُومُوا لَيْلَهَا وَصُومُوا نَهَارَهَا فَإِنَّ اللَّهَ 
يَنْزِلُ فِيهَا لِغُرُوبِ الشَّمْسِ إِلَى سَمَاءِ الدُّنْيَا فَيَقُولُ 
أَلَا مِنْ مُسْتَغْفِرٍ لِي فَأَغْفِرَ لَهُ أَلَا مُسْتَرْزِقٌ 
فَأَرْزُقَهُ أَلَا مُبْتَلًى فَأُعَافِيَهُ أَلَا كَذَا أَلَا كَذَا 
حَتَّى يَطْلُعَ الْفَجْرُ" - رواه ابن ماجه .
Hadis daripada Saidina 'Ali R.A bahawa Rasulullah S.A.W telah bersabda : "Apabila masuk malam nisfu Sya'ban, maka hendaklah kamu bangun pada malamnya dan berpuasa pada siang harinya,
 Sesungguhnya Allah Ta'ala menurunkan malaikatnya ke langit dunia pada 
malamnya setelah terbenamnya matahari, lalu Allah berkata : Sesiapa yang
 memohon keampunan padaKu maka Aku akan mengampunkan baginya, Sesiapa 
yang memohon rezeki padaKu maka Aku akan memberikannya rezeki, Sesiapa 
yang ditimpa musibah maka Aku akan melepaskannya, sesiapa yang 
demikian...sesiapa yang demikian ...sehinggalah terbitnya fajar." 
 [Riwayat Ibnu Majah] 
Tidaklah mengapa seandainya membaca surah Yasin sebanyak 3 kali 
selepas solat maghrib secara terang-terangan dan beramai-ramai. Hal ini 
kerana termasuk dalam perkara menghidupkan malam tersebut dan perkara 
berkaitan dengan zikir ruangannya adalah luas. Adapun mengkhususkan 
sebahagian daripada tempat dan waktu untuk melakukan sebahagian daripada
 amalan soleh secara berterusan adalah termasuk dalam perkara yang 
disyariatkan selagi mana seseorang yang melakukan amalan tersebut tidak 
beri'tiqod (menjadikannya sebagai pegangan) ; bahawa perkara tersebut 
adalah wajib di sisi syara' yang membawa hukum berdosa sekiranya 
meninggalkannya.
Hadis daripada Ibnu Umar R.A telah berkata :
عَنْ 
ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : "كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى 
اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي مَسْجِدَ قُبَاءٍ كُلَّ سَبْتٍ 
مَاشِيًا وَرَاكِبً" - متفق عليه .
"Nabi S.A.W akan mendatangi masjid Quba pada setiap hari Sabtu 
samada dengan berjalan ataupun menaiki tunggangan." [Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim.] 
Berkata Al-Hafiz Ibnu Hajar di dalam kitabnya (Fathul Bari) :
"Di dalam hadis ini walaupun berbeza jalan-jalan 
pengriwayatannya menunjukkan kepada (hukum) harus mengkhususkan 
sebahagian hari-hari untuk melakukan sebahagian daripada amalan-amalan 
soleh serta melakukannya secara berterusan." -tamat
Berkata Ibnu Rajab Al-Hanbali di dalam kitabnya (Lathoif Al-Ma'arif) :
"Ulama' di Syam telah berselisih pandangan dalam menyifatkan cara untuk menghidupkan malam nisfu Sya'ban kepada dua pandangan.
Pertamanya :
Adalah disunatkan menghidupkan malamnya secara berjamaah di masjid.
Khalid ibn Ma'dan dan Luqman ibn 'Amir dan selain daripada mereka 
telah memakai sebaik-baik pakaian, dan mengenakan wangian serta 
mengenakan celak pada mata serta mendirikan malamnya dengan ibadah.
Dan Ishaq ibn Rahuyah bersepakat dengan pandangan mereka terhadap 
perkara tersebut dan berkata dalam masalah mendirikan malamnya dengan 
ibadah di masjid secara berjamaah : "Perkara tersebut tidaklah menjadi 
bid'ah." Kalam ini dinukilkan oleh Harb Al-Kirmani di dalam kitab Masail
 nya.
Keduanya :
Sifatnya adalah makruh penghimpunan pada malamnya di masjid untuk 
melakukan solat serta bercerita dan berdoa. Dan tidak makruh sekiranya 
seseorang itu melakukan solat secara bersendirian. Ini adalah pandangan 
Al-Auzaie Imam Ahli Syam dan Ahli Faqeh dan 'Alim." -tamat
Kesimpulannya :
Maka menghidupkan malam nisfu Sya'ban sama ada secara berjamaah 
ataupun secara bersendirian sebagaimana sifat yang masyhur dikalangan 
orang ramai dan selainnya adalah perkara yang disyariatkan dan tidaklah 
menjadi bid'ah dan tidaklah menjadi makruh dengan syarat tidak 
menjadikan amalan tersebut sebagai suatu kemestian dan kewajipan.
Sekiranya amalan tersebut diwajibkan ke atas orang lain serta 
menghukum kepada mereka yang tidak mengikutinya dengan hukum berdosa 
maka menghukumkan dengan hukum dosa itu yang menjadi bid'ah kerana 
mewajibkan sesuatu yang tidak diwajibkan oleh Allah dan RasulNya S.A.W. 
Inilah makna yang menjadikannya makruh sebagaimana pandangan para 
salafussoleh terhadap hukum makruh dalam menghidupkan malam nisfu 
Sya'ban. Adapun menghidupkan malamnya sebagaimana hakikat asalnya maka 
perkara tersebut adalah disyariatkan dan tidaklah menjadi makruh.
Oleh itu, digalakkan menghidupkan malamnya dengan ibadah dan siangnya dengan puasa.
Petikan Fatwa Fadhilah Mufti Mesir Prof. Dr Ali Jum'ah.
Terjemahan : Ibnu Juhan Al-Tantawi
Sumber : Majalah Minbar Al-Islam, keluaran tahun ke-(68), bil (8) Sya'ban 1430, m/s 136.
Cik iena : Selamat Berpuasa Pada Yang Berpuasa Hari nie yer (^_~) 
♥♥ Info Menarik ♥♥
 

Thanks singgah blog cik iena yer
next time dtg singgah lg yer(^_~)