SAKIT...mangsa menerima rawatan di Hospital Gleneagles.
 
      CARI...pegawai perubatan Hospital Gleneagles mencari tangan mangsa yang putus ditetak penyamun. 
KUALA LUMPUR: Lapan jam masa diambil sekumpulan doktor Hospital Gleneagles bagi menyambung semula pergelangan tangan kiri seorang pengurus syarikat insurans yang terputus selepas ditetak seorang lelaki yang cuba menyamunnya dalam kejadian di Jalan Ampang, malam 3 Februari lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 9.15 malam itu, mangsa yang berusia 40-an dalam perjalanan untuk bertemu rakan di sebuah restoran memberhentikan keretanya sebaik tiba di tempat kejadian selepas melihat sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki dua lelaki dan seorang wanita mengalami kerosakan dan menawarkan khidmat untuk membantu.
  Bagaimanapun, sebaik berhenti dan keluar dari kereta, tiba-tiba seorang   daripada lelaki terbabit yang bersenjatakan parang menyerang dan menetak   pergelangan tangan kirinya hingga putus.
Mangsa sempat melarikan diri dengan masuk semula ke dalam keretanya sebelum memandu ke Hospital Gleneagles sejauh kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian dalam keadaan tangannya berlumuran darah. Pakar Trauma, Bedah dan Mikro Surgeri hospital berkenaan, Dr R Palani yang mengetuai pembedahan itu, berkata dia bersama seorang lagi doktor bersama-sama dua jururawat, seorang pembantu perubatan dan pemandu ambulans mengambil masa setengah jam untuk mencari tangan mangsa yang tertinggal di kawasan kejadian.
  “Keputusan untuk mencari   tangan itu dibuat Pegawai Perubatan di Jabatan Kecemasan, Dr Marry Anne   yang mendesak mangsa memberitahu lokasi kejadian memandangkan kami   percaya tangan itu masih boleh diselamatkan.
  “Sebaik mangsa   memberitahu lokasi, kami segera ke sana untuk mencari dan berjaya   menemui tangan itu di atas laluan pejalan kaki kira-kira 100 meter dari   tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Menceritakan kejadian itu, Dr Palani berkata, sebaik menerima panggilan telefon daripada rakan setugasnya di wad kecemasan mengenai keadaan mangsa, dia bergegas ke hospital.
  “Sebaik tiba, saya   mendapati tangan lelaki itu ditetak dengan sekali tetakan dan percaya   kejadian itu baru berlaku kerana darah masih memancut-mancut dari   tangannya,” katanya.
Dia berkata, melihat keadaan itu, mereka menghubungi polis dan meminta pasukan keselamatan itu mengesan tangan mangsa yang terputus di pergelangan tangan.
  Katanya, selepas lebih setengah jam   menunggu, polis memaklumkan gagal mencari tangan, mangsa sekali gus   memaksa mereka mencarinya sendiri.
  “Keadaan gelap-gelita di   kawasan itu dan petunjuk yang diberikan pesakit menyukarkan kami untuk   mencari tambahan pula kami hanya berbekalkan lampu telefon bimbit,”   katanya.
  Menurut Dr Palani, setakat ini keadaan mangsa   stabil dan masih menerima rawatan fisioterapi untuk memastikan tangan   yang disambungkan itu kembali berfungsi dengan baik.
  Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Operasi dan   Risikan) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Komisioner   Khairi Ahrasa ketika dihubungi, menafikan dakwaan doktor terbabit yang   mengatakan pihak berkuasa tidak mengambil tindakan selepas dimaklumkan   mengenai insiden berkenaan oleh pengawal keselamatan yang berada di   kawasan berkenaan.
  Menurutnya, kelewatan itu berlaku   disebabkan maklumat yang diberikan pengawal keselamatan itu kepada pihak   berkuasa tidak lengkap.
  Mengulas mengenai insiden itu,   Khairi berkata, disebabkan sikap mangsa yang suka menolong orang yang   mengalami kesusahan, kejadian itu menimpa dirinya.
  “Mangsa   adalah seorang lelaki yang suka membantu jika melihat orang mengalami   masalah dan dalam kejadian itu, mangsa memberhentikan kenderaannya   selepas menyangkakan dua lelaki dan seorang wanita yang sedang memeriksa   kereta Perodua Kancil di kawasan kejadian mengalami masalah bagi   menghulurkan bantuan.
  “Seorang daripada suspek yang   bersenjatakan parang  menyerang mangsa dan cuba menyamunnya sebelum   menetak tangan mangsa,” katanya.
  Khairi berkata, dalam   keadaan tangannya sudah terputus, mangsa berlari masuk ke dalam kereta   sebelum bergegas mendapatkan bantuan.
  Ketika ditanya   mengenai perkembangan kes itu, Khairi mengakui pihaknya sudah merakam   percakapan mangsa selain memberitahu, pihaknya sedang meneliti rakaman   kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berkenaan.
SOURCE FROM : http://www.hmetro.com.my/



 
 









0 comments:
Post a Comment